OGOS 2021

Abg Jo Lancar Kampus CENTEXS Mukah


MUKAH, Sabtu: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg hari ini telah melancarkan Kampus Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) dekat sini. 

Turut dilancarkan Akademi Minyak dan Gas dan Akademi Palma dan Pertanian.

Kampus tersebut merupakan antara langkah Kerajaan Sarawak dalam rangka kerja menyediakan infrastruktur untuk latihan teknikal kepada golongan belia di negeri ini untuk memenuhi keperluan industri, kata Datuk Patinggi Abang Haji Zohari.

Beliau berkata kampus ini akan menyediakan latihan teknikal sesuai dengan keperluan industri di kawasan tengah Sarawak termasuk industri pertanian, perladangan dan gas dan minyak.

Dengan beroperasinya kampus tersebut yang diambil alih daripada PPKS, CENTEXS mempunyai enam kampus di seluruh Sarawak yang sudah siap atau akan siap dibina.

Selain Kampus induk di Kuching, CENTEXS mempunyai kampus cawangan di Lawas, Betong, Lundu dan Dalat yang menyediakan latihan mengikut keperluan di kawasan tersebut.

Datuk Patinggi Abang Haji Zohari menyatakan Kampus Mukah ini akan dibuka penyertaan juga kepada pelatih dari luar Sarawak untuk mengwujudkan suasana pembelajaran dan latihan di peringkat antarabangsa dan jaringan dalam kalangan alumni. 

Latihan-latihan di kampus ini akan dikendalikan oleh syarikat-syarikat berprestij dan mendapat pentauliahan di peringkat antarabangsa, ujar beliau.

Datuk Patinggi Abang Haji Zohari turut mengumumkan penubuhan Lembaga Industri Nipah dan Sagu (LINAS) untuk memperkasakan penyelidikan, pengeluaran dan pemasaran produk-produk berasaskan nipah dan sagu. 

Majlis turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara CENTEXS dengan Schlumberger East Asia, The Welding Institute (TWI) Services Sdn Bhd, International Institute of Plantation Management, Institute Society of Plantation dan Regional Corridor Development Authority (RECODA). 

Hadir bersama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin ak. Jawong, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Muda dan Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh dan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. 

Turut hadir ADUN N57 Tellian, Yussibnosh Balo dan ADUN N58 Balingian, Abdul Yakub Haji Arbi. 

Terdahalu sejurus tiba Datuk Patinggi Abang Haji Zohari menyaksikan pengoperasian jentera penuaian kelapa sawit dan melawat di sekitar kampus. 

Turut berucap Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohd Morshidi bin Haji Abdul Ghani.

Sumber dari : Sarawakku